Tag Archives: Perunding

Manipulasi ejen dalam pelaburan unit trust – skim EPF

Antara segmen besar penyumbang pelaburan dalam unit trust di negara ini adalah melalui skim pengeluaran ahli untuk tujuan pelaburan dengan syarikat saham amanah. Kalau nak harap melabur dengan duit tunai, agak lembab  response nya dan industri itu tak meriah seperti sekarang ni. Kebetulan pula offer sememangnya bagus jika betul pilihan dana dan kena timing & strategi yang digunakan. Isteri saya adalah salah seorang yang ikut serta dalam skim ini, melabur dengan syarikat C. Saya tak layak melabur kerana tabungan EPF saya tak lepas had minimum. Oleh kerana saya ada ilmu sikit maka sayalah yang memantau perkembangan pelaburan isteri saya tu. Dia hanya turunkan cop jari dan isi borang yang berkenaan sahaja. Pelaburan yang isteri saya buat tu memang menguntungkan ketika tu, ROI lebih 10% kerana timing dan strategi yang berkesan. Namun, tak lama selepas tu kami terima surat yang menyatakan pelaburan isteri saya telah dilupuskan dan wang dikembalikan semula ke EPF. Saya hairan juga kenapa pelaburan yang baik telah dilupuskan dan wang dikembalikan ke akaun EPF. Bukankah tujuan asal memindahkan duit EPF ke pelaburan unit trust adalah untuk memaksimumkan pulangan jangkapanjang duit kita? Masa tu saya tak kisah sangat sebab bukan duit saya, tetapi rasa terkilan kerana kami tidak dirujuk sebelum pelupusan itu berlaku. Isteri saya pun tak ingat borang yang dia sudah ‘pre-sign’ untuk jual unit pelaburannya. Oh ya, tak lama lepas tu ejen yang sama datang semula dan propose untuk labur semula guna duit EPF. Saya pesan kepada isteri, boleh labur tapi tak mau jual bila untung. Switching aje!
Itu cerita masa dulu, sebelum saya aktif dalam industri ni. Kini saya aktif, kerap berjumpa dengan kawan-kawan yang kebanyakan mereka sudah melabur dalam syarikat-syarikat tertentu samaada C atau P. Mereka berkongsi cerita yang sama bagaimana ‘strategi’ yang ejen mereka gunakan untuk capai keuntungan yang disasarkan. Dalam cerita tu mesti ada sebut, “bila dah untung, realise the profit and return the money to EPF“. Saya rasa itu ada unsur manipulasi yang client terlepas pandang (atau tak tahu pun), maka ada yang ambil kesempatan. Saya rasa terpanggil untuk berkongsi ‘rahsia’ ni demi kebaikan semua orang terutamanya para pelabur. Mungkin ada yang bertanya, apa salahnya buat begitu? Biar saya jelaskan melalui senario agar lebih mudah difahami.
Contoh:-
Katakan Encik Ahmad membuat pengeluaran RM30,000 daripada akaun 1 dan melabur dalam dana ekuiti syarikat X. Kita kena faham pelaburan skim EPF dikenakan caj 3% semasa pembelian unit. Dalam contoh ini RM900 telah ditolak daripada jumlah yang masuk. Maka nilai pelaburan permulaan ialah RM30000 – RM900 = RM29,100. ROI ketika mula ialah -3%. Selepas 8 bulan, pelaburan itu menguntungkan dan duit berkembang menjadi RM40,000 (ROI = 25%). Ejen syarikat X kata kita jangan tamak, kita kena ambil untung ni dan kembalikan duit ke akaun EPF. Pelabur gembira sebab untung, ejen pun gembira sebab misi terlaksana.
6 bulan selepas tu, ejen yang sama akan mengajak En Ahmad masuk kembali ke dana yang sama atas alasan ‘telah berlaku correction dalam pasaran dan prestasi dijangka lebih baik pada masa depan’. En Ahmad mesti ikut aje sebab dia masih teruja dengan keuntungan 25% yang lalu. Mungkin dia juga beruntung kali itu dan duit dikembalikan kepada EPF. Masalah yang timbul ialah, setiap kali En Ahmad melabur semula dia akan bermula dengan ROI -3%. Dia terpaksa membayar caj jualan setiap kali duitnya dipindahkan daripada akaun EPF ke akaun unit trustnya.
Alternatif yang lebih beretika:-
En Ahmad seharusnya diberi pilihan agar dia segera realised keuntungan yang telah capai target, dan buat switching ke dana yang lebih stabil seperti bond fund atau Islamic money market. Ingat, tujuan asal kita melabur di unit trust ialah memaksimumkan peluang keuntungan duit kita. Selepas buat switching, jika ada peluang untuk masuk semula ke dana ekuiti maka En Ahmad tidak perlu membayar caj jualan. En Ahmad sudah bermula dengan untung 3% berbanding amalan biasa.
Saya telah berjanji dengan diri saya agar tidak mengamalkan manipulasi seperti ni. Saya harap kawan-kawan dalam industri ini agar lebih memikirkan situasi win-win-win dengan pelabur kita. Pelabur semakin tahu hak mereka dan dalam era internet sekarang ni orang mudah berkongsi maklumat demi kebaikan semua. Saya tidak berniat untuk menyinggung sesiapa, hanya menyuarakan pandangan dan pendirian saya dalam hal ini.
Semoga kita semua lebih maju dan berjaya.