Kesihatan Adalah Kekayaan Yang Utama

"Health Is True Wealth", itulah ungkapan kata yang saya terjemahkan menjadi tajuk post ini. Apa guna duit banyak kalau badan tak sihat. Lagi teruk jika badan sakit dan duit tak berapa nak ada. Umpama, sudah jatuh ditimpa tangga.

“Take Care of Your Body. It’s the Only Place You Have to Live” - Jim Robins

Saya kini berusia 44 tahun, syukur Alhamdulillah diberi pinjam umur dan kesihatan yang baik sehingga kini. Saya akui apabila usia menginjak 40an, maka secara sedar kita akan memikirkan aspek kesihatan. Fizikal kita pun ada perubahan ketara terutama di bahagian perut. Dulu masa umur 35 tahun pakai seluar saiz 30, kini saiz 36 pun agak sendat. Nak pakai tali leher kena tempah kemeja di kedai sebab yang ready made dah tak boleh nak dikancing rapat butang paling atas. Bila beli baju melayu nak yang jenis teluk belanga, bukannya cekak musang. Badan mudah lenguh, pinggang sakit bila setiap kali memandu jauh. Itu semua tanda KPI kesihatan yang merosot. Saya tahu saya kena buat sesuatu terutamanya cari ilmu tentang cara nak sihat.


Semalam saya berpeluang tengok webinar online yang dikendalikan oleh Mindvalley bertajuk WildFit: The Evolution of Health & Fitness bersama tetamu jemputan mereka Eric Edmeades, iaitu pencipta formula WildFit tersebut. Kaedah jadi sihat cara WildFit ni memang lain daripada model 'calory intake' yang biasa kita dengar dan diamalkan oleh fitness / health coach yang lain. Eric Edmeades melalui pengalaman beliau sendiri merawat pelbagai cabaran kesihatan yang beliau hadapi sejak kecil, menekankan pentingnya memahami makanan dan hubungannya dengan kesihatan kita. Kata beliau, bila kita sihat, menjadi kurus dan cergas (fit) akan berlaku secara sampingan. Formula WildFit tidak memerlukan pengambilan makanan supplemen atau aktif bersenam di gym atau seumpamanya.Saya tidak menyertai program penuh WildFit ini kerana harganya yang agak mahal.

Namun saya sempat catatkan beberapa 'key ideas' yang saya kena ambil berat dan bertindak segera. Saya kongsikan di sini, moga anda yang membaca juga akan terinspirasi dan jom bersama-sama perbaiki tahap kesihatan kita.

1

BAHAYA GULA

Gula adalah pemangkin selera. Jika kita dapat elakkan pengambilan gula, secara langsung kita akan atasi selera makan yang tidak terkawal. Selain gula pasir, kena elakkan makanan yang mangandungi gula sebagai bahan utama. Jangan terkejut, cereal sarapan pagi yang popular pun sebenarnya ada lebih banyak gula berbanding bijirin. Kek, biskut, aiskrim, minuman berkarbonat semuanya diketahui mengandungi kandungan gula yang tinggi.

2

BAHAN KIMIA (PERISA TIRUAN)

Bahan kimia yang paling perlu dielakkan ialah parasa tiruan. Kata Eric, aiskrim vanila yang ada sekarang kebanyakan mengandungi perisa vanila tiruan kerana kos lebih murah dan mudah dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Selain itu pengambilan garam berlebihan, penggunaan MSG dan tabiat makan makanan ringan membawa kita terdedah kepada kimia perisa tiruan.

3

MAKAN IKUT MUSIM

Eric Edmeades berasal dari Kanada, negara yang ada 4 musim. Dia kata kita kena makan buah-buahan dan jenis makanan mengikut musim ia datang. Ini kerana, setiap kitaran itu penting untuk membentuk sistem pertahanan badan. Dalam konteks Malaysia, kita boleh kiaskan agar makan buah-buahan mengikut musimnya. Sekarang musim buah manggis dan mata kucing, maka kita makan manggis dan buah mata kucing, bersesuaian dengan cuaca yang agak kering dan panas ketika ini. Nanti bila musim rambutan, kita utamakan pula buah rambutan.

Selain daripada 3 key idea di atas, perbincangan agak mendalam dan kena melanggan WildFit untuk betul-betul faham apa yang dikongsikan.

Dalam sesi webinar itu juga ada dikongsikan testimonial dikalangan peserta batch terdahulu. Satu elemen yang mencuit hati apabila muncul testimonial berkisar tentang daya seks. Kata Eric, daya seks tidak berkurang selari peningkatan usia. Daya seks berkurang kerana kesihatan merosot. Dengan kembali sihat, badan jadi kurus dan daya seks kembali seperti usia muda.

Jika anda kaki fitness atau mengamalkan program diet tertentu, bolehlah kongsikan cara anda dalam ruangan komen di bawah.

Leave a Comment: